TAQLID DALAM BERMAZHAB
Imam Asy-Syafi’i rahimahullah pernah berkata, “Perumpamaan orang yang menuntut ilmu tanpa memiliki hujah ibarat orang yang mencari kayu bakar pada malam hari. Dan ketika dia membawa kayu tersebut, dia tidak menyedari bahawa ia adalah ular yang sedia untuk menggigitnya.”
Al-Imam juga pernah berkata, “Selepas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam wafat, maka tiada lagi perkara-perkara fardu yang baru — sehingga tidak dikurangi dan tidak ditambahi untuk selama-lamanya.”
Bukan hanya dalam masalah istiwa yang seringkali mereka perdebatkan dan permasalahkan, malah mereka menuduh sesat para pengikut akidah Asy-Sya’irah dan Al-Maturidiyyah. Mereka juga melarang kita untuk taqlid kepada mazhab yang empat. Iaitu, mazhab Malikiyah, Hanafiyah, Syafi’iyah dan Hanabilah. Kerana bagi mereka keempat-empat Imam mazhab tersebut tidak terlepas dari kesilapan.
Wallahul musta’an.
Mereka sering berhujah bahawa Para Imam ridhwanullahi ‘alaihim (semoga Allah meredai mereka semuanya) pernah berkata, “Seseorang tidak boleh mengatakan sesuatu sebagai pendapat kami (para imam mazhab) tanpa mengetahui dalil yang kami pergunakan.”
Antara contoh perbezaan talfiq (mengikuti sebahagiannya dan mengingkari sebahagian yang lain) dengan taqlid (mengikuti secara membuta tuli) misalnya, menurut ulama Syafi’iyah seseorang yang menyentuh seorang wanita tanpa sengaja maka hal itu menyebabkan wuduknya batal. Kemudian orang tersebut bermaksud taqlid kepada mazhab Hanafiyah yang mengatakan bahawa wuduknya tidak batal, walaupun dia tidak mengetahui dalilnya. Hal ini boleh asalkan tatacara wuduknya sah menurut ulama Hanafiyah dan tidak ada yang membatalkan wuduknya menurut ulama Hanafiyah, seperti keluarnya darah dan yang lainnya. Seperti itulah contohnya taqlid.
Sementara talfiq adalah mengikuti hukum yang meringankan pada mazhab tertentu. Misalnya seorang pengikut mazhab Hanafiyah sedang mengalami luka dan mengeluarkan darah, yang mana menurut ulama Hanafiyah hal itu membatalkan wuduk, maka dia beralih pula ke mazhab Syafi’iyah yang tidak membatalkannya. Kemudian orang tersebut menyentuh kemaluannya sembari berkata menurut mazhab Hanafiyah ianya tidak membatalkan wuduk, lalu diapun solat dengan wuduk tersebut.
Tentang talfiq itu sendiri, sebaiknya seorang muslim tidak melakukannya selagi dia bukan seorang mujtahid, yakni seorang yang arif dalam hukum-hakam islam. Sedangkan seorang mujtahid sekalipun, tidaklah sampai dia taqlid buta kepada yang selainnya.
Dan, kami pernah menerima penentangan keras dari mereka yang berpendirian bahawa solat tarawih itu mutlak 8 rakaat, dan sesiapa yang melaksanakannya sebanyak 20 rakaat maka orang itu adalah pelaku bidaah yang sesat dan layak baginya neraka.
Wallahul musta’an.
Mereka seringkali berdalil dengan hadits dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu yang berkata, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
يَأْتِيْ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيْهِمْ عَلَى دِيْنِهِ كَالْقَابِضِ عَلَى الْجَمْرِ
“Akan datang kepada manusia suatu masa yang ketika itu orang yang sabar di atas agamanya seperti seorang yang menggenggam bara api.”
Telah dijelaskan juga oleh Syeikh Abdul Qadir Al-Rahbawi, bahawa solat tarawih atau yang biasa disebut Qiyamu Ramadhan adalah solat sunat bagi lelaki dan wanita yang dilakukan setelah solat isyak sebelum solat witir pada bulan Ramadhan, menunaikannya dengan dua rakaat dua rakaat. Solat tarawih juga boleh dilakukan setelah solat witir tetapi kurang afdal. Dan waktu habisnya adalah sehingga malam berakhir.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, “Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam sangat mementingkan solat malam bulan Ramadhan dengan perintah yang tidak mewajibkan. Baginda bersabda,
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ اِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barangsiapa yang menunaikan solat malam bulan Ramadhan (tarawih) dengan penuh keimanan dan pengharapan (akan keredaan Allah), maka diampunkan dosanya yang telah lalu.”
Bilangan rakaat dalam solat tarawih adalah 20 rakaat. Jumlah tersebut sebagaimana dijelaskan oleh Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu melalui perbuatannya ketika terakhir kali berkumpul dengan para sahabat yang solat di belakang seorang imam. Para sahabat sepakat terhadap yang demikian, begitu juga sepeninggalan beliau, para Khulafaur Rasyidin tidak ada yang mempertikaikannya.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ عَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ
“Maka hendaklah kamu semua berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafaur Rasyidin Al-Mahdiyyin (yang memperoleh petunjuk) dengan pegangan yang erat.”
Solat tarawih disunatkan dilakukan secara berjamaah dan boleh juga dilakukan sendirian. Dari Urwah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Aisyah radhiyallahu ‘anha mengkhabarkan kepadanya,
اَنَّ رَسُوْلَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ لَيْلَةً مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ فَصَلَّى فِي الْمَسْجِدِ وَصَلَّى رِجَالٌ بِصَلَاتِهِ فَاَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوْا فَاجْتَمَعَ اَكْثَرُ مِنْهُمْ فَصَلَّى فَصَلَّوْا مَعَهُ فَاَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوْا فَكَثُرَ اَهْلُ الْمَسْجِدِ مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ فَخَرَجَ رَسُوْلُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى فَصَلَّوْا بِصَلَاتِهِ فَلَمَّا كَانَتِ اللَّيْلَةُ الرَّابِعَةُ عَجَزَ الْمَسْجِدُ عَنْ اَهْلِهِ حَتَّى خَرَجَ لِصَلَاةِ الصُّبْحِ فَلَمَّا قَضَى الْفَجْرَ اَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ فَتَشَهَّدَ ثُمَّ قَالَ اَمَّا بَعْدُ فَاِنَّهُ لَمْ يَخْفَ عَلَيَّ مَكَانُكُمْ وَلَكِنِّيْ خَشِيْتُ اَنْ تُفْتَرَضَ عَلَيْكُمْ فَتَعْجِزُوْا عَنْهَا فَتُوُفِّيَ رَسُوْلُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْاَمْرُ عَلَى ذَلِكَ
“Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam pada suatu malam pernah keluar dari bilik tidurnya pada tengah malam untuk melaksanakan solat di masjid. Maka, orang-orang (yang melihatnya) mengikuti cara solat Baginda. Pada keesokan paginya, mereka saling membicarakan kejadian tersebut sehingga pada malam berikutnya orang-orang yang berkumpul (di masjid) bertambah ramai. Lalu mereka semua solat bersama Baginda. Pada keesokan paginya, mereka kembali membicarakan kejadian tersebut. Lantas pada malam yang ketiga orang-orang yang hadir di masjid semakin ramai. Lalu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam keluar (dari rumahnya) untuk melaksanakan solat dan mereka pun ikut solat bersama Baginda. Kemudian pada malam yang keempat, masjid sudah penuh dengan jamaah hingga akhirnya Baginda hanya keluar untuk melaksanakan solat subuh. Seusai solat subuh, Baginda menghadap kepada mereka, lalu membaca syahadat dan bersabda, “Amma ba’du, sesungguhnya aku bukannya tidak tahu keberadaan kamu semua (semalam). Akan tetapi, aku risau sekiranya ia diwajibkan ke atas kamu semua sehingga kamu menjadi keberatan kerananya.” Setelah kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, tradisi solat (tarawih) secara berjamaah terus berlangsung seperti itu.”
Tidak keluarnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam untuk melaksanakan solat bersama para sahabat pada waktu itu kerana Baginda khuatir dengan terus menerusnya Baginda menunaikan solat bersama mereka menyebabkan solat tersebut menjadi wajib.
Sepeninggalan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, Umar radhiyallahu ‘anhu kemudian mengumpulkan solat para sahabat di bawah seorang imam. Abdurrahman bin Abdul Qariy radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata,
خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَيْلَةً فِيْ رَمَضَانَ اِلَى الْمَسْجِدِ فَاِذَا النَّاسُ اَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُوْنَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّيْ بِصَلَاتِهِ الرَّهْطُ فَقَالَ عُمَرُ اِنِّيْ اَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلَاءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ اَمْثَلَ ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى اُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً اُخْرَى وَالنَّاسُ يُصَلُّوْنَ بِصَلَاةِ قَارِئِهِمْ قَالَ عُمَرُ نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ وَالَّتِيْ يَنَامُوْنَ عَنْهَا اَفْضَلُ مِنَ الَّتِيْ يَقُوْمُوْنَ يُرِيْدُ اَخِرَ اللَّيْلِ وَكَانَ النَّاسُ يَقُوْمُوْنَ اَوَّلَهُ
“Aku pernah keluar bersama Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu pada malam Ramadhan menuju masjid, ternyata ketika itu, orang-orang solat berkelompok-kelompok secara terpisah-pisah, ada yang solat sendirian dan ada seorang yang solat diikuti oleh makmum yang jumlahnya kurang dari sepuluh orang. Maka Umar berkata, “Bagiku, andaikata mereka semua mahu melaksanakan solat secara berjamaah dengan dipimpin oleh seorang imam, tentu ianya lebih baik.” Kemudian Umar menunaikan keinginannya tersebut dengan mengumpulkan mereka dalam satu jamaah yang dipimpin oleh Ubay bin Ka’ab. Lalu, aku keluar lagi bersamanya pada malam yang lain dan ternyata orang-orang solat dalam satu jamaah yang dipimpin oleh seorang imam, maka Umar berkata, “Sebaik-baik bidaah adalah ini. Dan mereka yang tidur terlebih dahulu adalah lebih baik daripada mereka yang solat pada awal malam. (Tidurnya mereka terlebih dahulu) kerana mereka ingin melaksanakan solat pada akhir malam, sedangkan yang lain secara umumnya mereka melaksanakan solat pada awal malam.”
Wallahu A’lam