PENAWAR HATI

Jamil Alhayat
4 min readNov 4, 2022

--

Hidup ini ibarat buah kelapa, yang boleh gugur bila masa sahaja. Tak kira muda, matang, ataupun tua.

Hendaknya kita sentiasa menjaga hati kita. Jangan sampai ia terleka sepertimana kelekaan yang menimpa mereka yang telah menerima azab. Ingatlah pada sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam,

اِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ، شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وَغِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ وَحَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ وَفَرَاغَكَ قَبْلَ شُغْلِكَ

“Rebutlah peluang yang lima sebelum (datang) yang lima. Masa mudamu sebelum masa tuamu. Masa sihatmu sebelum masa sakitmu. Masa kayamu sebelum masa fakirmu. Masa hidupmu sebelum masa matimu. Dan masa lapangmu sebelum masa sibukmu.” (Diriwayatkan oleh Imam Al-Hakim dan Imam Al-Baihaqi rahimahumallahu ta’ala)

Di dalam Al-Munabbihat, Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani rahimahullah berkata bahawa Abdullah Al-Anthaki rahimahullah pernah berkata,

خَمْسٌ هُنَّ مِنْ دَوَاءِ الْقَلْبِ، مُجَالَسَةُ الصَّالِحِيْنَ وَقِرَاءَةُ الْقُرْاَنِ وَاِخْلَاءُ الْبَاطِنِ وَقِياَمُ اللَّيْلِ وَالتَّضَرُّعُ عِنْدَ الصَّبَاحِ

“Ada Lima perkara (yang merupakan) ubat penawar bagi hati. Iaitu, duduk bermujalasah bersama orang-orang soleh, membaca Al-Qur’an, melaparkan perut (berpuasa), qiyamullail dan bertadharru’ (bermunajat) pada waktu menjelang subuh (sahur).”

Lima perkara tersebut diambil daripada perkataan As-Sayyid Al-jalil Ibrahim Al-Khawwas radhiyallahu ‘anhu sepertimana yang dikemukakan oleh Imam An-Nawawi rahimahullah di dalam kitabnya, At-Tibyan Fi Adabi Hamalatil Qur’an. “Ubat kepada hati ada lima perkara: Membaca Al-Qur’an dengan bertadabbur, perut yang kosong (puasa), qiyamullail, bertadharru’ pada waktu sahur dan duduk bermujalasah bersama orang-orang soleh.”

Sebahagian ulama ada yang menghuraikan lima perkara tersebut dengan perkara-perkara yang lain. Sepertimana berikut:

1. Bermujalasah bersama orang-orang soleh adalah seperti menghadiri majelis-majelis ilmu mereka, atau mendengarkan kisah orang-orang soleh daripada mereka. Yang termasuk di dalamnya juga adalah, diam dan menjauhi orang-orang yang tenggelam dalam kemaksiatan.

Imam Ad-Darimi rahimahullah menyebutkan riwayat daripada Az-Zuhri radhiyallahu ‘anhu, bahawa beliau berkata, “Bencana ilmu adalah lupa dan meninggalkan muzakarah (mengulangkaji pelajaran).”

2. Membaca Al-Qur’an yang disertai dengan mentadabburi maknanya, mempelajari tafsirnya serta menerapkannya dalam amalan sehari-hari.

Diriwayatkan bahawa Abu Musa Al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu berkata, “Sesungguhnya aku membaca Al-Qur’an di dalam solat dan di tempat tidurku.”

3. Mengosongkan perut dengan cara meninggalkan makanan serta minuman yang haram, dan tidak berlebihan dalam pemakanan meskipun ianya bersumber daripada yang halal.

Diriwayatkan dalam sebuah hadits marfu’,

ثَلَاثُ خِصَالٍ تُوْرِثُ الْقَسْوَةَ فِي الْقَلْبِ، حُبُّ الطَّعَامِ وَحُبُّ النَّوْمِ وَحُبُّ الرَّاحَةِ

“Tiga perkara yang akan menimbulkan kekerasan dalam hati. Iaitu, suka makan, suka tidur dan suka berehat (bermalas-malasan).”

4. Qiyamullail. Iaitu solat malam yang dilaksanakan selepas bangun daripada tidur pada malam hari, seperti solat tahajjud dan witir.

Diriwayatkan dalam kitab Al-Umm Asy-Syafi’i bahawa Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata, “Pada setiap malam Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam melaksanakan solat witir, dan witir Baginda berakhir sampai waktu sahur.”

5. Bertadharru’ pada waktu menjelang subuh, iaitu waktu sahur. Kerana pada waktu itu terdapatnya ketenangan dan pada waktu itu diturunkan rahmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Imam Abu Daud rahimahullah meriwayatkan daripada Shakhr Al-Ghamidi radhiyallahu ‘anhu akan sebuah hadits,

اَللَّهُمَّ بَارِكْ لِاُمَّتِيْ فِيْ بُكُوْرِهَا

“Ya Allah, berilah keberkahan buat umatku pada awal pagi mereka.”

Di dalam kitab Al-Wafi Fi Syarhil Arba’in An-Nawawiyah, karangan Musthafa Dieb Al-Bugha dan Muhyiddin Mistu menukilkan bahawa di dalam kitab Al-Mu’in ‘Ala Tafahhumil Arba’in karya Ibnu Al-Mulaqqin Asy-Syafi’i disebutkan bahawa selamatnya hati berada pada lima perkara, iaitu membaca Al-Qur’an dan mentadabburinya, perut yang kosong, qiyamullail (solat malam), bertadharru’ pada waktu sahur dan bermujalasah dengan orang-orang soleh. Sang pengarang pula berkata, “Memakan makanan yang halal, kerana ia antara perkara yang paling asas. Sebab makanan itu benih dari perbuatan. Apabila masuk yang halal, akan keluar yang halal. Apabila masuk yang haram, akan keluar yang haram. Begitu pula, apabila masuk yang syubhat, akan keluar yang syubhat.”

Dijelaskan bahawa tadharru’ adalah istilah bahawa kita menundukkan diri di hadapan Allah, mengakui segala kelemahan diri, berserah sepenuhnya kepadanya, merasa malu terhadapnya, serta meyakini bahawa hanya dengan kuasa Allah segala hal boleh berlaku. Kita memperbanyakkan zikir pada waktu itu, membaca ayat-ayat Al-Qur’an, beristghfar, bertasbih, bertahmid, bertakbir, bertahlil, bersolawat kepada Baginda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dan pelbagai macam lagi zikir.

Di antara tanda-tanda orang-orang yang bertakwa adalah mereka menerima segala pemberian dari Rabb mereka. Mereka sedikit sekali tidur pada waktu malam dan selalu beristighfar memohon ampun kepada Rabb mereka pada waktu pagi sebelum terbitnya fajar.

Imam Ibnu Katsir rahimahullah menyebutkan di dalam kitab tafsirnya tentang riwayat dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma bahawa pada suatu pagi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bangun pada akhir malam dan keluar dari dalam rumahnya. Baginda melihat langit seraya membaca,

الَّذِيْنَ يَذْكُرُوْنَ اللّٰهَ قِيَامًا وَّقُعُوْدًا وَّعَلٰى جُنُوْبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُوْنَ فِيْ خَلْقِ السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِۚ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هٰذَا بَاطِلًاۚ سُبْحٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

رَبَّنَآ اِنَّكَ مَنْ تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ اَخْزَيْتَهٗ ۗ وَمَا لِلظّٰلِمِيْنَ مِنْ اَنْصَارٍ

“(Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Rabb kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka. Ya Rabb kami, sesungguhnya orang yang Engkau masukkan ke dalam neraka, maka sungguh, Engkau telah menghinakannya, dan tidak ada seorang penolong pun bagi orang-orang yang zalim.” (Surah Ali Imran, ayat 191 hingga 192)

Baginda kemudian kembali masuk ke dalam rumahnya, lalu bersiwak, berwuduk dan melaksanakan solat.

Abu Sulaiman Ad-Darani rahimahullah berkata, “Sesungguhnya bila aku keluar dari rumahku, tiada satupun yang terlihat oleh mataku melainkan aku melihat bahawa Allah telah memberikan suatu nikmat kepadaku yang ada padanya, dan bagiku di dalamnya terkandung pelbagai iktibar (pelajaran).”

Wallahu A’lam

--

--

Jamil Alhayat
Jamil Alhayat

Written by Jamil Alhayat

Tiadalah Indah Suatu Perkataan Andai Tak Diikuti Perbuatan.

No responses yet