MENJAGA PANDANGAN

Jamil Alhayat
7 min readOct 4, 2022

--

“Dari mana datangnya cinta? Dari mata turun ke hati.”

Demikianlah yang seringkali disenandungkan baik oleh para pemuda atau para pemudi yang sedang dilanda cinta. Konon katanya, cinta itu seumpama bunga mawar. Hanya orang yang telaten saja yang akan aman dari tangkainya yang berduri.

Telah dijelaskan bahawa mata adalah jendela hati. Melalui pandangan mata, syahwat menyusup masuk ke dalam hati dan merosaknya lalu mengiring pelakunya pada perbuatan maksiat.

Sebahagian ulama salaf ada yang berkata bahawa pandangan mata itu adalah panah beracun yang menembus hati. Maka Allah memerintahkan agar menjaga pandangan mata sebagaimana Dia memerintahkan agar memelihara kemaluan, sebab pandangan mata itu adalah jendela hati.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala,

قُلْ لِّلْمُؤْمِنِيْنَ يَغُضُّوْا مِنْ اَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوْا فُرُوْجَهُمْۗ

“Katakanlah kepada laki-laki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya,” (Surah An-Nur, ayat 30)

Ia adalah perintah daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya yang beriman agar mereka menahan pandangan mata mereka terhadap hal-hal yang diharamkan bagi mereka. Oleh kerana itu, janganlah kita melihat kecuali pada apa yang dihalalkan bagi kita, dan hendaknya kita menahan pandangan mata kita daripada wanita-wanita yang bukan mahram. Apabila kita terpandang sesuatu yang diharamkan tanpa disengaja, maka hendaknya kita segera berpaling daripadanya.

Diriwayatkan daripada Sayyidina Ali karamallahu wajhah, beliau berkata bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda kepadanya,

لَا تُتْبِعُ النَّظَرَ النَّظَرَ فَاِنَّ الْاُوْلَى لَكَ وَلَيْسَتْ لَكَ الْاَخِيْرَةُ

“Janganlah kamu ikuti pandangan (yang pertama) dengan pandangan (yang berikutnya). Kerana bagimu (hanya pandangan) yang pertama dan (pandangan) yang berikutnya tidak diperbolehkan bagimu.”

Sebahagian ulama salaf juga ada yang berkata, bahawa barangsiapa yang memelihara mata zahirnya, nescaya Allah akan menganugerahkan cahaya pada mata hatinya.

Dari Abu Umamah radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, Baginda bersabda,

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَنْظُرُ اِلَى مَحَاسِنِ امْرَاَةٍ اَوَّلَ مَرَّةِ ثُمَّ يَغُضُّ بَصَرَهُ اِلَّا اَخْلَفَ اللَّهُ لَهُ عِبَادَةً يَجِدُ حَلَاوَتَهَا

“Tiada seorang lelaki muslim yang melihat kecantikan seorang wanita, kemudian dia menundukkan pandangan matanya, melainkan Allah akan menggantinya dengan (pahala) suatu ibadah yang bakal dia rasakan kemanisannya.”

Juga dari Abu Umamah radhiyallahu ‘anhu yang diriwayatkan secara marfu’,

لَتَغْضُنَّ اَبْصَارَكُمْ وَلَتَحْفَظُنَّ فُرُوْجَكُمْ وَلَتَقِيْمُنَّ وُجُوْهَكُمْ اَوْ لَتُكْسَفَنَّ وُجُوْهُكُمْ

“Tahanlah pandangan mata kalian dengan bersungguh-sungguh, dan peliharalah kemaluan kalian dengan bersungguh-sungguh, serta tegakkanlah wajah kalian (yakni tidak memandang pada perkara-perkara yang diharamkan), atau wajah kalian akan benar-benar dibuat muram (diazab).”

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman,

يَعْلَمُ خَاۤىِٕنَةَ الْاَعْيُنِ وَمَا تُخْفِى الصُّدُوْرُ

“Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang tersembunyi di dalam dada.” (Surah Ghafir, ayat 19)

Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata bahawa beliau tidak berpendapat tentang sesuatu yang paling dekat dengan makna Al-Lamam (dosa-dosa kecil) selain daripada apa yang telah dikatakan oleh Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam,

اِنَّ اللَّهَ عز وجل كَتَبَ عَلَى ابْنِ اَدَمَ حَظَّهُ مِنْ الزِّنَا أَدْرَكَهُ لَا مَحَالَةَ وَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ وَزِنَا اللِّسَانِ النُّطْقُ وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِيْ وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ أَوْ يُكَذِّبُهُ

“Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jalla telah menetapkan pada setiap anak cucu Adam bahagiannya dari perbuatan zina yang pasti terjadi dan tidak mungkin dihindari. Maka zinanya mata adalah dengan melihat, zinanya lisan adalah dengan ucapan, zinanya jiwa (iaitu hati dan minda) adalah dengan berkeinginan dan berangan-angan, dan kemaluanlah sebagai pembenar atau tidaknya (perbuatan zina tersebut).”

Dalam riwayat lain turut disebutkan bahawa zinanya telinga adalah dengan mendengar, dan zinanya kaki adalah dengan melangkah.

Telah dijelaskan bahawa pintu masuk bagi kemaksiatan itu ada empat. Iaitu, pandangan mata, bayangan yang terlintas di hati, ucapan lisan dan langkah kaki.

Pandangan mata adalah suatu dorongan yang pertama kali muncul ketika kita melihat sesuatu. Apabila dorongan itu buruk maka ia adalah dorongan daripada syahwat. Barangsiapa yang sengaja melepaskan pandangan demi pandangan pada perkara-perkara yang diharamkan, sama sahaja dengan dia telah menuntun dirinya pada kebinasaan.

Berawal dari pandangan mata, lahirlah perasaan, yang kemudian mendatangkan pemikiran, dan menumbuhkan syahwat. Iaitu syahwat untuk melampiaskan keinginan, lalu terjadilah perbuatan. Selama tidak ada yang menghalangi, perbuatan itu terjadi secara berulang kali sehingga menjelma menjadi penyakit. Penyakit yang menimbulkan perasaan cemas, yang membuat penghidapnya tidak mampu menahan hasrat, bahkan membuatnya memikul beban yang teramat berat.

Ramai orang yang melayangkan pandangan mata lalu tak dapat melepaskan diri dari yang dipandangnya. Dia terbuai di dalamnya bagaikan orang yang mati terbunuh. Dia tidak sedar bahawa goresan anak panah beracun dari pandangan mata yang mulanya hanya melukainya dengan luka yang kecil, mengakibatkan luka-luka yang lain sehingga dia tidak terdaya.

Bayangan yang terlintas di hati lebih sukar untuk dilepas. Ia merupakan permulaan dari kebaikan atau kejahatan. Kerana daripada situlah munculnya kehendak, angan-angan dan kemahuan yang keras. Barangsiapa yang dapat menjaga dan memelihara bayangan yang terlintas di hati dan mindanya maka dia telah berjaya menguasai dirinya dari amarah dan hawa nafsunya. Orang yang tunduk pada bayangan yang terlintas di hati dan mindanya, maka ia telah ditakluk oleh hawa nafsunya hingga mudah terjerat dalam kemaksiatan dan perbuatan dosa. Apatah lagi jika bayangan itu terlintas secara berulang-ulang dalam hati dan akhirnya menjadi angan-angan batil dan menjadi cita-cita yang salah.

Seorang hamba harus dapat membatasi bayangan yang terlintas di hatinya pada empat perkara asas. Iaitu, bayangan yang berkisar tentang manfaat keduniaan, bayangan yang terlintas untuk menangkal hal-hal yang merugikan hidupnya, bayangan yang terlintas untuk kemaslahatan akhirat, dan bayangan yang terlintas untuk menangkal semua hal yang merugikan akhiratnya.

Apabila hati sepi dari bayangan apapun maka syaitan akan datang dan menyusup ke dalamnya dan berusaha memenuhinya dengan sesuatu yang sesuai dengan minat pemiliknya.

Maka dari itu, kita hendaknya sentiasa berzikir mengingati Allah; memikirkan ayat-ayat yang telah diturunkan oleh-Nya, memahami maksud dan tujuannya; bertafakur menyaksikan fenomena kekuasan dan kebesaran Allah untuk mengambil pelajaran daripadanya, petunjuk tentang norma-norma, sifat-sifat, hikmah dan kebijaksanaan; merenungkan segala nikmat-Nya, ihsan-Nya, anugerah-Nya serta maghfirah-Nya.

Dijelaskan bahawa bayangan yang terlintas di hati dan minda itu yang merupakan angan-angan yang batil atau bisikan daripada syaitan, serupa dengan segala sesuatu yang berlalu di jalan. Jika kita membiarkannya, ia akan berlalu begitu saja, tetapi jika kita memanggilnya dan mengajaknya berbicara, kita justeru akan terleka olehnya. Sesuatu yang terlintas di hati sebenarnya tidak berbahaya, tetapi meladeninya hingga timbul kebatilan itulah yang membahayakan dan membinasakan.

Ucapan lisan adalah sesuatu yang tersimpan dan tidak dilafazkan kecuali untuk suatu kepentingan. Jika kita melontarkannya pada perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat baik bagi diri kita atau agama, bererti kita telah menyia-nyiakannya.

Telah banyak disebutkan dalam riwayat-riwayat hadits supaya kita menjaga lisan, kerana daripadanya seseorang itu akan dimasukkan ke dalam syurga atau dicampakkan ke dalam neraka. Lagipun, tidak akan lurus keimanan kita selagi tidak lurus hati kita, dan tidak akan lurus hati kita selagi tidak lurus lisan kita.

Ramai orang yang mampu menjaga diri dari makanan yang haram, memandang wanita yang bukan mahram, meminum khamr, zina, mencuri, membunuh dan perbuatan keji yang lain, tetapi sulit bagi mereka untuk menjaga gerakan lisan mereka. Mereka gemar berbicara tentang perkara yang sia-sia dan tidak mendatangkan manfaat sama sekali. Ada yang sukar untuk menjauh daripada dusta, bercerita tentang keburukan orang lain, menyebarkan fitnah ke sana sini atau memberikan kesaksian palsu.

Oleh itu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam menasihati kita untuk berdiam sekiranya kita tidak mampu berbicara yang baik.

Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani rahimahullah menyebutkan bahawa, Amirul Mukminin Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu pernah berkata, “Barangsiapa yang banyak ketawanya maka sedikit kewibawaannya, barangsiapa yang merendahkan manusia maka dia akan dikeji, barangsiapa yang mahir dalam sesuatu maka dia akan dikenali dengan kemahirannya, barangsiapa yang banyak bicaranya maka banyak pula kesalahannya, barangsiapa yang banyak kesalahannya maka sedikit pula rasa malunya, barangsiapa yang sedikit rasa malunya maka sedikit pula waraknya, dan barangsiapa yang sedikit waraknya maka matilah hatinya.”

Seorang ulama ada yang menerangkan bahawa lisan itu mempunyai dua penyakit, iaitu cacat dalam perkataan dan cacat dalam berdiam diri. Jika seseorang dapat bebas dan selamat dari salah satunya, ia tidak akan bebas dari yang satunya lagi. Orang yang berdiam diri, acuh tak acuh pada kebenaran merupakan syaitan yang bisu, kerana dia tidak menegakkan nahi munkar dan telah memperdaya dirinya sendiri. Sedangkan orang yang berbicara dengan kebatilan adalah syaitan yang bercakap, yang telah jelas-jelas melanggar syariat Allah.

Adapun langkah kaki, setiap manusia hendaknya menjaga diri agar tidak melangkahkan kaki kecuali pada perkara-perkara yang mendatangkan pahala. Jika tidak mendatangkan pahala, maka duduk adalah lebih utama daripada berjalan. Kita boleh melangkahkan kaki pada perkara-perkara yang mubah dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah. Jika kita silap dalam melangkah, maka buruk akibatnya.

Setiap daripada kita pasti memiliki kesalahan dan aib. Ada sebahagian di kalangan kita yang memandang kita dengan penuh kasih sayang, sehingga mereka tidak mencuba untuk mengorek aib kita dan menyebarluaskannya. Sebab, dalam pandangan mereka, barangkali kita akan memperbaiki kekurangan kita terutamanya aib-aib yang ada pada diri kita sendiri.

Akan tetapi, ada juga sebahagian di kalangan kita yang memandang kita dengan pandangan dengki. Mereka senang apabila aib kita tersebar di kalangan masyarakat sebab mereka ingin melihat kita hancur. Oleh kerananya, kita harus tahu mana orang yang menyayangi kita dan mana orang yang dengki kepada kita. Ianya, tak lain tak bukan agar kita dapat bermuamalah dengan mereka secara sepadan.

Telah ramai para ulama yang menasihati kita, “Pilihlah seorang teman yang tepat sebelum kamu memilih jalan hidupmu.” Kerana sesunguhnya tiada kebaikan pada diri seseorang yang mengkhianati, memusuhi temannya, apatah lagi yang sebelumnya mereka saling mengasihi. Tiada kebaikan pada diri seseorang yang mengingkari penggalan kehidupan yang telah berlalu. Tiada kebaikan pada diri seseorang yang memperlihatkan dan menyebarluaskan rahsia-rahsia (aib) masa lalu. Dan sungguh, tiada kebaikan pada diri orang-orang yang seperti itu, meskipun di dunia ini kita tidak memiliki teman.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda,

لَا يَسْتُرُ عَبْدٌ عَبْدًا فِي الدُّنْيَا اِلَّا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Tidaklah seseorang menutup aib orang lain di dunia, melainkan Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat kelak.”

Laksana Pantai Tempat Bertemunya Laut Dan Darat, Begitulah Juga Keindahan Yang Terkadang Diperolehi Dengan Adanya Perbezaan.

Wallahu A’lam

--

--