ILMU ADALAH CAHAYA
Disebutkan bahawa ada di kalangan ulama salaf yang berkata,
أُطْلُبُوا الْعِلْمَ مِنَ الْمَهْدِ إِلَى اللَّحْدِ
“Tuntutlah ilmu semenjak dari buaian hingga masuk ke liang lahad.”
مَنْ أَرَدَ الدُّنْيَا فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ وَمَنْ أَرَدَ الْاَخِرَةَ فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ
وَمَنْ أَرَدَهُمَا مَعًا فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ
“Barangsiapa yang ingin meraih dunia, maka hendaknya dengan berilmu. Barangsiapa yang ingin meraih akhirat, maka hendaknya dengan berilmu. Dan barangsiapa yang ingin meraih keduanya sekaligus, maka hendaknya dengan berilmu.”
Di dalam Al-Kabair, Imam Adz-Dzahabi rahimahullah menyebutkan bahawa Hilal bin Al-‘Ala’ rahimahullah berkata,
“Menuntut ilmu itu sukar, (pun begitu) menjaganya lebih sukar daripada menuntutnya, mengamalkannya (pula) lebih sukar daripada menjaganya, dan selamat darinya (jauh) lebih sukar daripada mengamalkannya.”
Selamat daripada ilmu? Iya, kerana alangkah ramai di antara kita yang menuntut ilmu hanya untuk meraih kepentingan dunia, bukan untuk meraih keredaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Ada di antara kita yang menuntutnya agar dapat berdebat dengan orang-orang yang jahil, ada juga yang menuntutnya untuk membanggakan diri di hadapan para ulama. Dan ada pula yang menuntutnya untuk menarik perhatian orang lain kepada dirinya.
Ramai yang terleka, mereka salah dalam melangkah. Mereka malah mengajak manusia kepada kelompoknya, bukan mengajak kepada Allah. Alangkah malang nasib kita kelak, bila kita mengerjakan apa yang kita melarang orang lain daripadanya.
Dan tidaklah kita disebut sebagai alim, yakni seorang yang berilmu meski sepandai manapun kita atau sebanyak manapun ilmu yang kita miliki apabila pada diri kita ini tiada rasa takut kepada Allah. Sekiranya kita benar-benar berilmu, nescaya kita akan sedar tentang keperkasaan Allah, kemuliaan Allah, juga kekuasaan Allah, yang dengannya kita merasa takut kepada Allah, patuh pada segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Telah dijelaskan bahawa ilmu adalah cahaya, dan sesungguhnya tidak ada jalan menuju ma’rifatullah untuk menggapai reda dan ketaatan kepada Allah kecuali dengan ilmu pengetahuan. Ilmu adalah cahaya, yang dengannya Allah mengutus para Rasul dan menurunkan kitab-kitab-Nya. Ilmu adalah cahaya, yang dengannya seseorang mendapat petunjuk dan dengan ilmu itu juga hilangnya keraguan.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman,
قَدۡ جَآءَكُمۡ مِّنَ اللّٰهِ نُوۡرٌ وَّكِتٰبٌ مُّبِيۡنٌ
يَّهۡدِىۡ بِهِ اللّٰهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضۡوَانَهٗ سُبُلَ السَّلٰمِ وَيُخۡرِجُهُمۡ مِّنَ الظُّلُمٰتِ اِلَى النُّوۡرِ بِاِذۡنِهٖ وَيَهۡدِيۡهِمۡ اِلٰى صِرَاطٍ مُّسۡتَقِيۡمٍ
“Sungguh, telah datang kepadamu cahaya dari Allah dan Kitab yang menjelaskan; dengan Kitab itulah Allah memberi petunjuk kepada orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan Kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang tersebut dari gelap gulita kepada cahaya dengan izin-Nya dan menunjukkan ke jalan yang lurus.” (Surah Al-Ma’idah, ayat 15 hingga 16)
Allah juga berfirman,
فَالَّذِيۡنَ اٰمَنُوۡا بِهٖ وَعَزَّرُوۡهُ وَنَصَرُوۡهُ وَ اتَّبَـعُوا النُّوۡرَ الَّذِىۡۤ اُنۡزِلَ مَعَهٗ ۤ ۙ اُولٰۤٮِٕكَ هُمُ الۡمُفۡلِحُوۡنَ
“Adapun orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya, dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Qur’an), mereka itulah orang-orang yang meraih kejayaan.” (Surah Al-A’raf, ayat 157)
Turut dijelaskan bahawa para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, akan tetapi, mereka hanya mewariskan ilmu semata. Dan orang-orang yang mewarisi ilmu para nabi adalah para ulama yang mengamalkan ilmunya dengan ikhlas. Mereka seumpama bintang-bintang di langit yang memberi cahaya dalam kegelapan, baik ketika di darat atau di laut. Jika bintang-bintang yang menjadi panduan itu hilang, nescaya setiap orang yang berjalan akan tersesat. Selagimana ilmu berada di tengah umat, nescaya kita akan berada dalam kebaikan dan petunjuk, peradaban yang berkemajuan, serta keadilan yang berkelanjutan.
Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash radhiyallahu ‘anhu berkata bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ النَّاسِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يَتْرُكْ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا
“Allah ‘Azza Wa Jalla menghapuskan ilmu agama bukan dengan cara mencabutnya secara langsung dari hati umat manusia. Tetapi, Allah akan menghapuskan ilmu agama dengan mewafatkan para ulama, hingga tidak ada seorang ulama pun yang tersisa. Kemudian mereka akan mengangkat para pemimpin yang bodoh. Apabila para pemimpin yang bodoh itu dimintai fatwa, mereka akan berfatwa tanpa berlandaskan ilmu hingga mereka tersesat dan menyesatkan.”
Dan telah dijelaskan bahawa orang-orang yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itulah yang akan ditempatkan bersama dengan orang-orang yang telah diberi nikmat oleh Allah. Adapun, orang-orang yang telah diberi nikmat itu adalah para nabi, para pencinta kebenaran (shiddiqin), orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang soleh. Dan sesungguhnya mereka semua adalah sebaik-baik teman.
Sesungguhnya Allah melindungi orang-orang yang soleh, yakni orang-orang yang beriman kepada-Nya, serta beriman kepada hari akhir. Mereka juga mengerjakan amal-amal kebajikan, mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari keburukan.
Imam Al-Ghazali rahimahullah berkata, “Manusia itu ada tiga jenis. Yang pertama, dirinya ibarat makanan yang sememangnya selalu diperlukan. Yang kedua, dirinya ibarat ubat yang diperlukan pada suatu waktu tertentu sahaja. Dan yang ketiga, dirinya ibarat penyakit yang tidak diinginkan sama sekali.”
Ketika kita bermujalasah bersama orang-orang soleh, hendaknya terlebih dahulu kita membersihkan hati kita agar mampu menerima dan seterusnya mempraktikkan ilmu yang disampaikan oleh mereka. Dan, di antara adab yang perlu ditekankan serta diambil perhatian ialah seseorang tidak boleh merendahkan nilai sesebuah ilmu. Malah, dia hendaklah mengunjungi ke suatu tempat yang mempunyai guru untuk mempelajari ilmu yang bermanfaat tersebut, sekalipun dia seorang khalifah atau siapa sahaja.
Dalam berguru, hendaknya kita memilih guru yang baik dan menghormatinya. Hendaknya kita belajar daripada orang yang benar-benar berkelayakan, terserlah pegangan agamanya yang teguh, terbukti keilmuannya dan dikenal sebagai seorang yang memelihara ilmunya.
Muhammad bin Sirin, Malik bin Anas dan para salaf yang lain rahimahumullah berkata, “Ilmu adalah agama. Maka lihatlah daripada siapa kamu mengambil agamamu.”
Disebutkan juga, ada dari kalangan salaf yang apabila hendak berjumpa dengan gurunya, dia akan berdoa,
أَللّٰهُمَّ اسْتُرْ عَيْبَ مُعَلِّمِيْ عَنِّيْ وَلَا تُذْهِبْ بَرَكَةَ عِلْمِهِ مِنِّيْ
“Ya Allah, tutuplah aib guruku daripadaku dan janganlah Kau hilangkan keberkahan ilmunya daripadaku.”
Diriwayatkan dari Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib karamallahu wajhah, beliau berkata, “Antara hak kepada seorang alim daripadamu, adalah kamu memberi salam secara umum kepada manusia namun mengkhususkan penghormatan buatnya berbanding mereka; kamu duduk (dengan penuh tunduk hormat) di hadapannya; jangan menunjuk ke arah sesuatu dengan tanganmu (secara kasar), dan tidak pula mengarahkan dengan matamu; janganlah berkata (di hadapannya) bahawa ada si fulan yang mengatakan sesuatu yang berlainan daripada ucapannya; jangan mengumpat sesuatu di sisinya; jangan berbual-bual dengan rakan semajelismu ketika berada dalam majelisnya; jangan memegang pakaiannya ketika dia berdiri; jangan selalu bertanya apabila dia kelihatan tidak senang; dan jangan pernah merasa bosan kerana lamanya tempoh perguruanmu bersamanya.”
Ada juga dari kalangan salaf yang berkata, “Sesiapa yang tidak sabar atas kehinaan ketika menuntut ilmu, maka usianya yang tersisa ditimpa buta dalam kejahilan. Sesiapa yang bersabar dengannya, maka urusannya akan menjadi mulia di akhirat dan di dunia.”
Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata, “Aku telah menjadi hina ketika belajar, lalu menjadi mulia ketika mengajar.”
Barangsiapa yang tidak sanggup merasai kehinaan walau sesaat, maka dia akan ditimpa kehinaan sepanjang masa.
Kita sebagai pelajar, hendaknya belajar dengan bersungguh-sungguh, serta tidak memberatkan diri dengan sesuatu yang tidak mampu kerana khawatir merasa bosan, dan lantas apa yang diperoleh menjadi sia-sia.
Dari Abu Musa radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, Baginda bersabda,
إِنَّ مَثَلَ مَا بَعَثَنِيَ اللَّهُ بِهِ عَزَّ وَجَلَّ مِنْ الْهُدَى وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَصَابَ أَرْضًا فَكَانَتْ مِنْهَا طَائِفَةٌ طَيِّبَةٌ قَبِلَتْ الْمَاءَ فَأَنْبَتَتْ الْكَلَأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيْرَ وَكَانَ مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتْ الْمَاءَ فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ فَشَرِبُوْا مِنْهَا وَسَقَوْا وَرَعَوْا وَأَصَابَ طَائِفَةً مِنْهَا أُخْرَى إِنَّمَا هِيَ قِيْعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ فِيْ دِيْنِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ بِمَا بَعَثَنِيَ اللَّهُ بِهِ فَعَلِمَ وَعَلَّمَ وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللَّهِ الَّذِيْ أُرْسِلْتُ بِهِ
“Sesungguhnya perumpamaan agama yang aku diutus oleh Allah ‘Azza Wa Jalla dengannya, yang berupa petunjuk dan ilmu ialah bagaikan hujan yang turun ke bumi. Di antaranya ada yang turun ke tanah yang subur yang dapat menyerap air, maka tumbuhlah padang rumput yang permai. Di antaranya ada yang turun ke tanah yang keras sehingga air tergenang di permukaannya. Lalu air itu dimanfaatkan oleh orang ramai untuk minum, menyiram kebun dan berternak. Dan ada pula yang turun ke tanah yang tandus, tidak menggenangkan air dan tidak pula menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Seperti itulah perumpamaan orang yang mempelajari agama Allah dan mengambil manfaat daripadanya, mempelajarinya serta mengajarkannya, dan begitu juga perumpamaan bagi orang yang tidak mahu tahu dan tidak menerima petunjuk daripada Allah yang aku diutus dengannya.”
Barangsiapa yang memahami keadaan lautan kehidupan dunia dan tahu bagaimana pasang surutnya gelombang, nescaya dia akan memahami bagaimana harus bersabar menghadapi hari-hari kehidupan yang penuh dengan keganasan. Dia tak merasa risau akan turunnya bala sehingga terus-menerus dirundung kewas-wasan. Dan tak pula terkejut andaikata kebahagiaan datang secara tiba-tiba.
Wallahu A’lam