DOA
Telah disebutkan bahawa punca segala kesalahan itu ada tiga. Iaitu, sombong, tamak dan iri hati. Disebabkan sombong, Iblis enggan tunduk di hadapan Nabi Adam. Disebabkan tamak untuk dapat hidup abadi, Nabi Adam ‘alaihis salam terpujuk oleh tipu muslihat syaitan agar memakan buah khuldi. Disebabkan iri hati pula, Qabil, putera Nabi Adam tergamak membunuh saudara kandungnya sendiri yang bernama Habil.
Pada masa kini, ramai di antara kita yang enggan berdoa dan bermunajat kepada Allah kerana sifat sombong yang membuat kita beranggapan bahawa dengan berdoa atau bermunajat tersebut tidak akan membawa perubahan apapun. Konon katanya, apa yang akan terjadi tetap akan terjadi tanpa perlu dia meminta, dan apa yang takkan terjadi takkan pernah terjadi meski dia meminta. Namun, tanpa sedar mereka mengingkari apa yang dianjurkan oleh Dzat yang menetapkan kejadian tersebut.
Bukankah sekiranya kenyang itu telah ditakdirkan dan pasti akan terjadi, samada kita makan ataupun tidak kita tetap akan kenyang? Demikian halnya, jika semua hal ditakdirkan tidak akan terjadi maka gerak kehidupan ini tidak akan berkembang. Manusia tidak perlu bernikah, berkeluarga dan sebagainya.
Ada pula yang disebabkan sifat tamak ingin meraih kenikmatan dunia yang bersifat fana, ramai sebahagian di antara kita yang giat berdoa dengan beranggapan yang kononnya apa yang mereka inginkan tersebut adalah yang terbaik bagi mereka. Padahal Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 216:
وَعَسٰٓى اَنْ تَكْرَهُوْا شَيْـًٔا وَّهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَعَسٰٓى اَنْ تُحِبُّوْا شَيْـًٔا وَّهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللّٰهُ يَعْلَمُ وَاَنْتُمْ لَا تَعْلَمُوْنَ
“Tetapi, boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal ia baik bagimu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
Dan ada pula, sebahagian orang yang berdoa memohon kepada Allah kerana merasa iri hati terhadap orang lain, yang dalam pandangannya orang tersebut memperoleh kelebihan yang tidak diperolehinya.
Malah ada sebahagian daripada mereka yang kerana tergesa-gesa dalam berdoa sehingga doanya tidak diijabah oleh Allah, mereka kemudian berpaling daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Bahkan, mereka enggan lagi untuk berdoa apatah lagi untuk memohon ampun kepada Rabbnya.
Mereka seumpama petani yang menanam biji-bijian. Pada mulanya, dia memberikan perhatian yang penuh terhadap tanamannya dan selalu menyiraminya. Akan tetapi, selepas melihat hasilnya yang lamban dan kurang sempurna serta tidak sesuai dengan yang diharapkan, dia meninggalkan tanamannya tersebut lalu mengabaikannya. Hasilnya, tentulah bukan panen yang indah, malah ia adalah kegagalan yang nyata.
Sesungguhnya, doa dan permohonan perlindungan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala adalah senjata. Sedangkan ampuhnya senjata tersebut tidak terletak semata-mata pada ketajamannya, tetapi juga pada pemakainya. Andaikata, senjata itu sangat tajam dan digunakan oleh tangan yang kuat dan tiada yang menghalanginya, nescaya senjata itu akan ampuh untuk menghancurkan sasarannya. Dan apabila salah satu syarat itu hilang maka hilanglah pula keampuhannya.
Demikian pula dalam berdoa. Jika doa itu sendiri kurang elok atau orang yang berdoa tidak bersungguh-sungguh atau kerana adanya hambatan yang lain, maka doa itu tidak akan membekas sama sekali dan boleh jadi orang itu tidak mendapatkan apa-apa.
Segala sesuatu yang ditakdirkan tidak terlepas dari adanya sebab, dan salah satu sebab itu adalah doa. Jika seorang hamba melakukan sebab tersebut, maka takdir pasti terjadi. Dan jika dia tidak membawa sebab tersebut, maka takdir tidak akan terjadi.
Seseorang ditempatkan ke dalam syurga disebabkan amal baiknya, dan seseorang dicampakkan ke dalam neraka disebabkan amal buruknya. Ia adalah kenyataan yang seringkali tidak diperhatikan oleh ramai orang, dan dalam hal ini doa merupakan unsur sebab yang paling kuat.
Oleh kerana itu, tidaklah tepat pendapat yang mengatakan bahawa berdoa tidak membawa sebarang manfaat atau membawa perubahan apapun; sama halnya dengan makan, minum dan perbuatan yang lain. Padahal, tiada sebab yang lebih bermanfaat melebihi doa untuk memperoleh sesuatu yang diharapkan.
Para sahabat ridhwanullahi ‘alaihim adalah golongan umat yang paling mengenal Allah dan Rasul-Nya serta agama-Nya yang benar. Dan mereka adalah golongan yang paling berpegang teguh pada perintah berdoa serta memenuhi syarat-syarat dan tata caranya.
Diriwayatkan bahawa Umar bin Al-Khattab radhiyallahu ‘anhu memohon pertolongan dengan berdoa ketika melawan musuh-musuhnya. Padahal, beliau memiliki jumlah pasukan yang lebih ramai. Beliau berkata, “Kamu menang bukan kerana jumlah kamu yang ramai, akan tetapi kamu menang kerana bantuan dari langit.”
Beliau radhiyallahu ‘anhu menambahkan, “Sungguh! Aku tidak memikul dengan mendesakkan agar diijabahnya doa. Akan tetapi, aku lebih didorong oleh keinginan untuk berdoa. Maka fahamilah ia! Jika kamu diilhami untuk berdoa, sesungguhnya ijabah itu mengikutinya.”
Dijelaskan bahawa barangsiapa yang diilhami untuk berdoa, nescaya ijabah mengikutinya.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala,
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُوْنِيْٓ اَسْتَجِبْ لَكُمْ ۗ
“Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku akan perkenankan bagimu.” (Surah Ghafir, ayat 60)
وَاِذَا سَاَلَكَ عِبَادِيْ عَنِّيْ فَاِنِّيْ قَرِيْبٌ ۗ اُجِيْبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ اِذَا دَعَانِۙ
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (wahai, Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku makbulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.” (Surah Al-Baqarah, ayat 186)
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
مَنْ لَمْ يَسْأَلِ اللَّهَ يَغْضَبُ عَلَيْهِ
“Barangsiapa yang tidak memohon kepada Allah, maka Allah akan murka kepadanya.”
Semua ini menunjukkan bahawa Allah akan senang apabila ada orang yang berdoa, bermunajat, memohon dan taat kepada-Nya. Apabila Allah reda, maka kebaikan akan sentiasa ada dalam keredaan-Nya, sebagaimana musibah yang berada dalam amarah-Nya.
Diriwayatkan oleh Imam Al-Hakim rahimahullah dari Sayyidina Ali karamallahu wajhah bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
اَلدُّعَاءُ صِلَاحُ الْمُسْلِمِيْنَ وَعِمَادُ الدِّيْنِ وَنُوْرُ السّمَوَاتِ وَالْاَرْضِ
“Sesungguhnya doa itu adalah senjata bagi orang-orang yang beriman, tiang agama, dan cahaya langit dan bumi.”
Wallahu A’lam