CINTA KEPADA ALLAH

Jamil Alhayat
6 min readOct 4, 2022

--

Di dalam Hadits Qudsi, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

مَنْ شَغَلَهُ قِرَاءَةُ الْقُرْآنِ عَنْ مَسْأَلَتِي وَذِكْرِي أَعْطَيْتُهُ أَفْضَلَ ثَوَابِ السَّائِلِينَ وَفَضْلُ كَلَامِ اللَّهِ عَلَى سَائِرِ الْكَلَامِ كَفَضْلِ اللَّهِ عَلَى خَلْقِهِ

“Barangsiapa yang disibukkan membaca Al-Qur’an sehingga tidak sempat meminta dan berzikir kepada-Ku, maka Aku akan memberikan kepadanya sebaik-baik pahala orang-orang yang meminta (kepada-Ku). Keutamaan Kalamullah atas seluruh perkataan lainnya seperti keutamaan Allah atas seluruh makhluk-Nya.”

Telah banyak sekali gambaran tentang kebahagiaan dan penderitaan hidup manusia yang terpampang dalam kehidupan kita sehari-hari. Terkadang, apabila kita mencintai seseorang, kita akan rela memberikan seluruh jiwa dan harta kita kepadanya, meskipun cinta kita itu tidak terbalas, atau bahkan orang yang kita cintai itu justeru mencintai orang lain dan tidak mencintai kita sama sekali.

Betapa ramai orang yang mengaku mencintai Allah, namun tatkala bersendirian, dia malah melakukan maksiat terhadap-Nya. Ia bukanlah cinta, melainkan hanyalah dusta. Sungguh, yang sedemikian itu bukanlah Allah yang dia kelabui, melainkan dirinya sendiri. Sebab, seorang pencinta akan patuh kepada yang dicintainya. Tidaklah munasabah jikasanya cinta kepada Allah dan maksiat terhadap-Nya berkumpul menjadi satu dalam hati seorang yang beriman.

Sudah semestinya kita kembali merenungi segala sesuatu yang diberikan-Nya kepada kita, dan kita juga harus bertanya kepada diri sendiri, “Adakah kita telah benar-benar mencintai-Nya secara tulus?” Sebab, sebahagian tanda cinta yang tulus kepada Allah ialah dengan taat kepada-Nya serta menjawab sesegera mungkin seruan-Nya.

Di dalam Madarijus Salikin Baina Manazili Iyyaka Na’budu Wa Iyyaka Nasta’in, Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah rahimahullah menjelaskan, bahawa sebahagian daripada sebab-sebab yang mendatangkan cinta kepada Allah adalah sebagai berikut:

  • Membaca Al-Qur’an dengan mentadabburi, mempelajari serta memahami makna-maknanya seperti yang dikehendaki. Ia tak ubah sepertimana ketika kita menelaah sebuah buku yang harus kita hafalkan agar dapat memahami maksud pengarangnya.
  • Bertaqarrub kepada Allah dengan melaksanakan solat-solat nafilah setelah solat fardhu, kerana yang sedemikian dapat menghantarkan seorang hamba ke derajat orang yang dicintai selepas dia memiliki cinta.
  • Sentiasa mengingat dan menyebut Asma-Nya dalam apa jua keadaan, baik dengan lisan atau dengan hati, saat beramal dan pada setiap waktu. Serta mengarahkan perhatian hati kepada asma dan sifat-sifat-Nya dengan mempersaksikan dan mengetahuinya. Kerana barangsiapa yang mengenali Allah melalui Asma dan Sifat-Nya, nescaya dia akan mencintai Allah
  • Mempersaksikan kebaikan, kemurahan, karunia dan nikmat Allah, baik yang zahir mahupun yang batin. Serta menyerahkan kepasrahan hati seluruhnya hanya kepada-Nya, dan menyingkirkan segala sebab yang dapat membuka jarak antara hati dan Allah.
  • Lebih mementingkan cinta kepada-Nya daripada cinta kita ketika kita dikalahkan oleh bisikan hawa nafsu. Dan berkumpul bersama orang-orang yang juga mencintai-Nya secara tulus, dengan mendengarkan nasihat-nasihat yang baik daripada mereka — laksana memetik buah segar dari pokoknya, serta tidak berbicara kecuali jika ia mendatangkan maslahat kepada kita, menambah baik dan memberi manfaat kepada yang lainnya.

Di jelaskan oleh Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah rahimahullah di dalam kitabnya yang lain, Syifa’u Al-‘Alil Fi Masa‘il Al-Qadha’ Wa Al-Qadr Wa Al-Hikmah Wa At-Ta’lil:

“Jika Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, Dia akan memberikan taufiq kepadanya sehingga hamba tersebut mampu mengarahkan daya dan upayanya di dalam meraih raghbah (rasa cinta kepada Allah) dan rahbah (rasa takut kepada Allah). Kedua rasa itu merupakan sarana yang boleh menghantarkan seseorang memperoleh taufik daripada Allah. Jika raghbah (rasa cinta kepada Allah) dan rahbah (rasa takut kepada Allah) itu dapat ditekuni secara benar di dalam hati seorang hamba, nescaya Allah mengaruniakan taufik kepadanya.”

Kedua perasaan tersebut murni merupakan karunia dan pemberian daripada Allah semata. Allah meletakkan keduanya pada tempat yang pantas dan mencabutnya di tempat yang tidak layak disusupi.

Hati yang banyak mempunyai dosa, bukanlah tempat yang layak bagi keduanya. Lantaran ia lebih mengutamakan jalan kesesatan daripada jalan petunjuk, ia juga lebih mengutamakan hawa nafsunya daripada kebenaran dan keredaan Rabbnya, sehingga ia buta di atas jalan petunjuk. Ia turut kufur dengan nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah kepada-Nya, ia malah lebih gemar mencari kemurkaan-Nya daripada mencari keredaan-Nya. Oleh yang demikian, taufik Allah terhalang daripadanya sebagai bentuk keadilan baginya. Pintu hidayah pun tertutup rapat sehingga hatinya menjadi gelap dan sempit, sehingga Islam dan Iman tidak mampu memasukinya. Meskipun disampaikan kepadanya ayat-ayat Allah, selagi tiada taubat, ia seolah-olah tidak menambah apapun bagi dirinya, malah disebabkan kesombongannya, ia semakin sesat dan kufur jadinya.

Jika orang yang dadanya dilapangkan oleh Allah untuk menerima Islam dan Iman, apabila disampaikan kepadanya ayat-ayat Allah, nescaya dia akan merenunginya. Tersingkap pelbagai rahsia seperti tauhid, takdir, keadilan dan keagungan Rabbnya. Dia akan memperoleh rasa penghambaan dan rasa makrifat yang tersendiri. Dia juga akan menyedari bahawa dirinya hanyalah seorang hamba yang tidak memiliki apapun, sementara Allah Subhanahu Wa Ta’ala adalah Rabb Sang Pemelihara segala sesuatu, serta Maha Memiliki, termasuk benda, sifat dan perbuatan. Semua urusan berada pada kekuasaan-Nya, segala puji hanya milik-Nya, dan segala ciptaan akan kembali pada-Nya.

Sementara itu di dalam Shaidul Khatir, Imam Ibnul Jauzi rahimahullah menyebutkan bahawa, manusia yang tidak cerdas beranggapan, jika tidak memiliki isteri yang cantik dan yang dicintai, dunia ini akan serasa hampa. Ketika ditawarkan kepadanya wanita-wanita yang cantik, maka muncullah khayalannya tentang kelazatan dunia. Namun, ketika tidak mendapatkan apa yang diinginkannya, dia berperasangka bahawa kelazatan dunia telah dicegah baginya.

Apa yang dimiliki oleh seseorang sangatlah menjemukan baginya ketika dia telah dapat mengukur apa yang diinginkannya, lalu dia akan merasa bosan dan cenderung kepada hal yang lain. Hal itu disebabkan dia telah mengetahui pelbagai kekurangan yang ada dalam diri seseorang sewaktu bergaul dengannya. Sebab yang lain adalah keadaan cinta yang makin menurun, kerana setiap orang akan sentiasa mencari hal-hal yang belum dicapai.

Kita mungkin dapat menjaga keutuhan cinta, namun hal itu justeru dapat mengurangi makna cinta yang hakiki. Cinta akan berkembang jika seseorang yang dicintai tidak melakukan hal-hal yang tidak disukai oleh orang yang mencintainya. Ketika itulah keutuhan cinta akan terjaga. Namun, ketika cinta kelihatan suci, hendaknya kita menyedari bahawa ia tak mungkin dapat terhindar dari pelbagai noda.

Berhati-hatilah pada nikmat yang bernama cinta. Jagalah agar rasa cinta kepada kekasih tidak berlebihan. Mungkin sahaja seseorang menunjukkan rasa cinta, namun ternyata cintanya tidak sepenuh hati sehingga malah memunculkan rasa bosan bahkan amarah. Jika dia khawatir dikhianati oleh orang yang dicintai, akan senantiasa muncul curiga dan akhirnya merasa kelelahan kerananya.

Yang terbaik adalah cintailah seseorang atau sesuatu sewajarnya sahaja. Pilihlah apa pun yang kita sukai, namun jangan terlena dengan cinta itu. Seseorang yang jatuh dalam jerat cinta akan selalu berada dalam azab dan derita. Orang yang tak merasakan bagaimana menderitanya terperosok dalam cinta, akan menyangka betapa senangnya manusia yang dikelilingi wanita-wanita cantik. Padahal bukan begitu kenyataannya!

Bagi orang yang bijaksana, dia akan memandang setiap sesuatu itu memiliki kelebihan dan kekurangan. Dia akan sentiasa memperbaiki sikapnya dalam mencintai sesuatu. Adapun cinta tersebut tidaklah sampai menjejaskan cintanya kepada Allah.

Ramai di antara manusia yang dilanda kerugian yang nyata, yang menyebabkan mereka terperosok ke lembah yang penuh dosa semenjak masih muda.

Ada yang berantusias dalam menuntut ilmu. Namun ada pula yang berfoya-foya menikmati hidup, mereka semua akan menyesal tatkala umurnya telah renta dan tatkala dosa-dosanya tak dapat lagi ditebus. Menyesal tatkala kekuatan dan tenaganya telah melemah dan habis. Menyesal tatkala keutamaan-keutamaan tak lagi dapat diraih semasa muda. Masa tua pula disesaki dengan kegelisahan yang menyiksa.

Andaikan seseorang pada masa tuanya sedar akan dosa-dosa yang diperbuatnya, nescaya dia akan mengakui penyesalannya akibat dosa-dosa yang pernah dilakukan. Jika tidak sedar juga, dia akan menyesal bahawa kelazatan yang dirasakan hanyalah bersifat sementara.

Adapun orang yang masa mudanya melakoni umurnya dalam menggapai ilmu, maka pada masa tuanya tidak akan menyesal dengan pengorbanan yang pernah dilakukan, kerana semua jerih payahnya membuahkan hasil yang manis pada masa tuanya. Malah, dia mendapatkan imbalan yang lebih baik dari apa yang pernah dibayangkan sebelumnya.

Sebaik-baik usaha adalah membekalkan diri dengan ilmu. Barangsiapa yang merasa cukup dengan ilmu yang dimilikinya, dia akan selalu merasa pendapatnya yang paling benar. Perasaan bangga diri itu akan menghalanginya untuk mengambil manfaat dari orang lain, sedangkan kesediaan untuk selalu belajar akan memberinya jalan untuk merenungi pelbagai ragam kesalahan. Orang yang merasa cukup seringkali tak mampu menerima perbaikan yang diarahkan kepadanya kerana merasa besar diri. Andaikata diperlihatkan kepadanya kebaikan tentang belajar dari orang lain, akan tersingkaplah keburukan-keburukannya sehingga dengan itu dia dapat memperbaiki diri.

Sejatinya, seorang muslim yang beribadah kepada Allah, seolah-olah melihat-Nya dan merasa kedekatan dengan-Nya hingga dia tidak menyibukkan diri dengan sesuatu yang sia-sia. Ia merupakan bukti bahawa dia benar-benar bersama Allah dan Allah pun bersamanya.

Adapun orang yang menyibukkan diri dengan sesuatu yang sia-sia, petanda bahawa dia tidak bersama Allah dan Allah pun tidak dekat dengannya. Amalannya menjadi rosak, dan dia termasuk orang yang belum sempurna imannya.

Hasan Al-Bashri rahimahullah berkata, “Salah satu tanda bahawa Allah berpaling dari seorang hamba adalah dia disibukkan dengan sesuatu yang tidak bermanfaat.”

Ketika seorang muslim memahami kewajiban dan tanggungjawabnya, tentu dia akan melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk dunia dan akhiratnya. Ia merupakan tanda sempurnanya keislaman seseorang, kekukuhan imannya, kebenaran takwanya, jauh dari hawa nafsunya, kejayaan dan keberhasilan di sisi Rabbnya Yang Maha Agung.

Wallahu A’lam

--

--

Jamil Alhayat
Jamil Alhayat

Written by Jamil Alhayat

Tiadalah Indah Suatu Perkataan Andai Tak Diikuti Perbuatan.

No responses yet