AKHLAK YANG MULIA
Kesempurnaan itu sangat mulia, namun hanya sedikit orang sahaja yang dapat mencapainya. Awal kesempurnaan seseorang terletak pada keserasian antara jasmani dan rohaninya. Anggota badan, wajah, tangan, tubuh atau jasad yang tampak dan zahir inilah yang kita sebut sebagai jasmani. Apabila ia elok dan digunakan dengan seelok-eloknya, maka eloklah jasmani tersebut. Sedangkan rohani, apabila ia disifati dengan budi pekerti dan akhlak yang elok, maka eloklah rohani tersebut. Apabila jasmani dan rohani tersebut telah elok, nescaya itulah awal kesempurnaan.
Secara am, akhlak itu terbahagi kepada dua, akhlak yang terpuji dan akhlak yang tercela. Di antara akhlak yang terpuji adalah, menjaga diri dari perbuatan dosa, berbuat baik terutama sekali kepada ibubapa dan guru, bersikap dermawan atau murah hati terutamanya kepada fakir miskin, mengasihani anak yatim, menutup aib orang lain, sentiasa tampil bersih dan rapi, bersikap cerdas, bersabar menghadapi orang-orang jahil, tidak berlebihan dalam makan dan lain sebagainya.
Barangsiapa yang dikurniakan sifat-sifat tersebut, nescaya akan terangkat dirinya menuju kesempurnaan. Akan muncul darinya kemuliaan akhlak. Jika sifat-sifat tersebut tidak terdapat pada diri seseorang, maka berkuranglah pula kesempurnaannya.
Sungguh, akhlak Baginda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah akhlak yang paling sempurna, paling bagus dan paling utama, kerana akhlak Baginda adalah Al-Qur’an. Dalam kata lain, kita tidak akan menemukan di dalam Al-Qur’an satu pun akhlak, budi pekerti, sopan santun, cara berinteraksi yang baik dan benar, dakwah, pelbagai macam amal soleh dan keutamaannya, serta larangan melakukan perbuatan yang tercela, kecuali Baginda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam telah melaksanakan semua itu dengan sebaik-baik amalan.
Sa’ad bin Hisyam bin Amir menceritakan bahawa beliau pernah mendatangi Sayyidatina Aisyah radhiyallahu ‘anha seraya berkata, “Wahai Ummul Mukminin! Khabarkanlah kepada saya mengenai akhlak Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam.”
Aisyah Bertanya, “Bukankah kamu telah membaca Al-Qur’an?”
Sa’ad menjawap, “Ya.”
Ujar Aisyah, “Maka, sesungguhnya akhlak baginda adalah Al-Qur’an. Firman Allah ‘Azza wa Jalla,
وَاِنَّكَ لَعَلٰى خُلُقٍ عَظِيْمٍ
“Dan bahawa sesungguhnya engkau, wahai Muhammad mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Surah Al-Qalam, ayat ke 4).
Sa’ad lalu berkata, “Kalau begitu, sungguh saya ingin membujang.”
Aisyah kemudian menasihatinya, “Jangan kamu lakukan yang sedemikian! Sungguh, pada diri Rasulullah telah ada suri tauladan yang baik. Sedangkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah insan yang juga menikah dan mempunyai anak.”
Aisyah juga pernah mengatakan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam tidak pernah walau hanya sekali mengangkat tangan kepada seorang pun dari pembantunya, dan belum pernah mengangkat tangan kepada seorang pun dari isteri Baginda, dan belum pernah mengangkat tangan kepada sesuatu pun kecuali apabila berjihad di jalan Allah. Baginda tidak pernah disuruh memilih di antara dua perkara melainkan Baginda akan memilih yang paling disukai dan paling ringan di antara keduanya, kecuali apabila yang ringan itu berupa dosa. Maka, jika hal itu berupa dosa, Baginda adalah orang yang paling menjauhinya. Dan Baginda tidak pernah membalas dendam atas segala perbuatan yang ditimpakan kepada dirinya, melainkan apabila batasan- batasan Allah dilanggar, maka Baginda baru melakukan pembalasan dan itu hanyalah kerana Allah semata.
Diriwayatkan dari Abu Darda radhiyallahu ‘anhu bahawa, Baginda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
مَا مِنْ شَيْءٍ يُوضَعُ فِي الْمِيزَانِ أَثْقَلُ مِنْ حُسْنِ الْخُلُقِ وَإِنَّ صَاحِبَ حُسْنِ الْخُلُقِ لَيَبْلُغُ بِهِ دَرَجَةَ صَاحِبِ الصَّوْمِ وَالصَّلَاةِ
“Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan amal melainkan akhlak yang mulia. Dan sesungguhnya orang yang beriman dan yang berakhlak mulia akan mencapai derajat orang yang berpuasa (sunat pada siang harinya) dan solat (sunat pada malam harinya).”
Seorang sahabat pernah meminta nasihat kepada Baginda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Baginda bersabda kepadanya,
اِتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
“Bertakwalah kepada Allah di manapun kamu berada, ikutilah setiap amal buruk dengan amal baik hingga ia dapat menghapusnya. Dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang mulia.”
Dari Abu Umamah, beliau berkata bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
أَنَا زَعِيمٌ بِبَيْتٍ فِي رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقًّا وَبِبَيْتٍ فِي وَسَطِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَإِنْ كَانَ مَازِحًا وَبِبَيْتٍ فِي أَعْلَى الْجَنَّةِ لِمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ
“Aku akan menjamin rumah di tepi syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan meskipun dia benar. Aku juga menjamin rumah di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan dusta meskipun dia hanya ingin bergurau. Dan aku juga menjamin rumah di syurga yang paling tinggi bagi orang yang berakhlak mulia.”
Baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam juga bersabda, “Kebaikan itu adalah akhlak yang mulia, sedangkan keburukan atau dosa itu adalah sesuatu yang mengganjal dalam dirimu dan kamu benci sekiranya ada orang lain yang mengetahuinya.”
Wallahu A’lam